18 OKT: Isu menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang sedang diburu pihak berkuasa sekali lagi mencetuskan perang mulut di Dewan Rakyat, hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat mula kecoh apabila Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) menyentuh isu menantu Muhyiddin lari ke luar negara semasa bekas Pengerusi Perikatan Nasional itu sedang membahaskan isu beras.
Tindakan Poay Tiong menimbulkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan mendesak supaya kenyataan tersebut ditarik balik kerana dianggap tidak berkaitan dengan tajuk perbahasan.
Bagaimanapun, Poay Tiong enggan berbuat demikian meskipun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng meminta beliau menarik balik kenyataan itu.
“Pagoh tadi kata ragu-ragu subsidi yang dapat dijimatkan sampai kepada rakyat. Kenapa Pagoh ragu? Adakah sewaktu Pagoh jadi Perdana Menteri tidak berhemah sehingga anak menantu cabut ke luar negara. Kenapa anak menantu sampai hari ini tak balik untuk hadapi siasatan SPRM?,” katanya.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) menggelar Poay Tiong sebagai Yahudi dan tindakan tersebut membuatkan RSN Rayer (Jelutong-PH) berdiri meminta Shahidan supaya menarik balik kenyataan itu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menyifatkan kenyataan Poay Tiong itu berniat jahat dan memintanya supaya menarik balik kenyataan berkenaan.
Alice mengulangi arahan supaya Poay Tiong menarik balik kenyataannya dan turut meminta Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) menarik balik kenyataan zionis terhadap Poay Tiong.
“Apa dikata Kota Melaka telah keluar tajuk. Kita bincang beras kenapa sentuh menantu pula? Saya harap Kota Melaka tarik balik,” katanya.
Poay Tiong direhatkan sementara daripada persidangan kerana enggan menarik kenyataanya sementara Awang menarik balik kenyataan zionis terhadap Ahli Parlimen DAP itu.
Awal Ogos lalu, menantu Muhyiddin, Datuk Muhammad Adlan Behran diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Namun sehingga kini beliau masih belum pulang ke tanah air. OLEH : AISYAH BADRUL