18 OKT : Malaysia dan rakyatnya yang waras tidak mungkin sama sekali bersimpati terhadap Israel.
Demikian penegasan dibuat Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Jabatan Negara AS.
Nazri memaklumkan dihubungi pihak Jabatan Negara AS yang menyatakan rasa kurang senang Washington terhadap beberapa kenyataan keras Malaysia terhadap Israel.
Beliau juga menegaskan kepada AS bahawa simpati Malaysia hanya untun nasib Palestin yang ditindas dan terus ditekan Israel.
“Negara-negara kuasa besar tidak pernah menyatakan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak dan warga tua Palestin yang berpuluh tahun menderita akibat tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.
“Mana mungkin Malaysia akan memberikan simpati kepada pihak yang bertindak tanpa perikemanusiaan seperti rejim Israel,” katanya, lapor Astro Awani.
Beliau juga memaklumkan Jabatan Negara AS mempersoalkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Hamas namun katanya sokongan itu tidak sewajarnya dipertikaikan kerana ia merupakan pilihan rakyat Palestin di Gaza.
“Malaysia menghormati sokongan rakyat Palestin di Gaza yang telah memilih Hamas sebagai pemerintah mereka.
“Tidak ada sebab untuk Malaysia tidak bersama dengan rakyat Palestin dalam usaha mereka menuntut hak yang telah dirampas Israel.
“Malaysia juga tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan mana-mana pihak atas sokongan yang diberikan kepada Hamas dan Palestin,” katanya sambil bertegas Malaysia akan sentiasa bersolidari dengan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Dalam pada itu, beliau berkata Israel perlu segera menghentikan pengeboman di Gaza dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.
“Di Malaysia hanya mereka yang mengalami masalah mental sahaja akan menyokong apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Israel tidak perlu play victim dalam perkara ini kerana tindakan mereka selama ini jauh lebih ganas dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Nazri turut menyuarakan kepada jabatan tersebut bahawa kedutaan Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan AS memberi pelbagai alasan ketika Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir cuba menghubungi setiausaha negara tersebut, Anthony J. Blinken.
“Alasan-alasan yang diberikan oleh Washington kepada Wisma Putra adalah sangat lemah.
“Mereka seperti mahu memperkecilkan Malaysia dengan hanya mahu timbalan Blinken berurusan dengan (Datuk Seri) Zambry,” katanya.
Israel semakin bertindak gila apabila membedil hospital di Gaza dengan lebih 500 dilaporkan terkorban yang menyebabkan kemarahan global.
Lebih teruk rejim itu menuding jari kepada Jihad Islam Palestin sebagai pelaku serangan itu yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh gerakan itu.
Sebelum ini hospital Al-Ahlu itu dilaporkan diarahkan berpindah oleh Israel di bawah ancaman bom.