19 OKT : Sebanyak tujuh kumpulan ajaran sesat yang dipercayai masih aktif di Malaysia kini berada di bawah pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kumpulan ajaran sesat itu dipercayai mampu mendatangkan ancaman keselamatan serta menggugat ketenteraman awam negara.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengugat keharmonian negara.
“Berdasarkan siasatan, kumpulan tersebut dikenal pasti sebagai Terekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham @ Ibrahim (MA), Ajaran Suhaini @ Sihulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.
“Polis memandang serius penyebaran ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan mengugat ketenteraman awam.
“Pemantauan rapi dijalankan dalam perkara ini bagi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat yang melangkaui garisan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Razaruddin berkata pihaknya menahan 23 individu termasuk pemimpin dan pengikut kumpulan berkenaan sejak 2021 hingga tahun ini menerusi 51 laporan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.
“20 daripada tangkapan itu melibatkan kumpulan Tarekat Habib Shah dan masing-masing satu bagi kumpulan Ajaran Ilmu Akhir Zaman, Nur Mutiara Mutmainnah dan Suhaini @ Sihulk.
“PDRM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta Jabatan Agama Islam negeri bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada disebarkan dalam kalangan masyarakat, “katanya.
Pada masa sama, beliu menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganut atau pengamal ajaran sesat yang dikesan membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan.