19 OKT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor melaksanakan perdebatan dengan sopan serta mengelakkan sikap tidak bertamadun dalam persidangan DUN.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office pada Khamis, Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika menerima menghadap Speaker Dewan Negeri Selangor yang baharu Lau Weng San di Istana Bukit Kayangan, hari ini.
“Pada pertemuan itu, baginda menitahkan Yang Berhormat Speaker meneruskan kesinambungan Speaker terdahulu dalam mengendalikan perjalanan sidang dewan dengan adil, lancar dan tidak berat sebelah.
“Baginda mahu agar suasana perdebatan ketika sidang dewan berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan tanpa dicemari dengan penggunaan bahasa kasar dan tidak sopan, serta perangai-perangai yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memberi penghargaan kepada speaker-speaker terdahulu dari parti DAP dilantik sejak tahun 2008, yang berjaya mengawal keadaan setiap kali sidang berlangsung.
Weng San yang juga bekas Adun Banting dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor berkuatkuasa 19 September lalu menggantikan Ng Suee Lim.
Selain Suee Lim, dua lagi speaker DUN Selangor dari parti DAP adalah Datuk Teng Chang Khim serta Hannah Yeoh.
Weng San dijangka memulakan tugas mengendalikan persidangan DUN Selangor yang dijadualkan pada 14 hingga 17 November dan 20 hingga 24 November.
DUN Selangor juga akan mendengar pembentangan belanjawan negeri yang dijadualkan pada 10 November depan, bersekali dengan persidangan Dewan yang dijadual berlangsung selama dua minggu.