19 OKT : Jumlah pekerja asing yang kini berada dalam negara melebihi unjuran yang ditetapkan sebelum ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata hanya 2.4 juta pekerja asing boleh berada dalam negara ini mengikut unjuran yang ditetapkan Kementerian Ekonomi.
Sehubungan itu, Mustapha berkata kementeriannya akan memastikan hanya 15 peratus pekerja asing berada di negara ini berbanding keseluruhan tenaga kerja yang sedia ada.
“Unjuran kita ialah 2.4 juta, namun dengan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, seramai 2.7 juta pekerja asing berada di Malaysia secara fizikal,”katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai perancangan tenaga kerja dilaksanakan KSM bagi memastikan pengambilan pekerja asing berada di tahap optimum pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan terutama bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam usaha menampung permintaan industri.
“Kita perlukan kerjasama semua untuk memastikan penggunaan teknologi dan kaedah pembinaan baharu, di samping melahirkan bakat tempatan,” katanya.
Sementara itu, Mustapha memaklumkan seramai 222,230 orang pekerja asing sudah dibawa masuk bagi menyelesaikan masalah sektor pembinaan yang masih tertunggak.
Jelas beliau, berdasarkan unjuran semasa negara masih kekurangan 78,770 pekerja asing bagi menampung keperluan sektor pembinaan.
“Unjuran keperluan pekerja asing bagi sektor pembinaan oleh Agensi Kawal Selia ketika pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing adalah 301,000 orang.
“Sehingga 9 Oktober lalu, data kemasukan pekerja asing bagi sektor pembinaan yang diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah 222,230 orang.
“KSM berperanan menerima dan memproses permohonan serta aspek kelulusan kuota manakala aspek kemasukan pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa KDN,” katanya.