19 OKT : Mesir bersetuju membuka laluan sempadan Gaza bagi membolehkan 20 trak dengan bekalan bantuan kemanusiaan menyeberang laluan berkenaan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberitahu pemberita persetujuan itu dicapai melalui panggilan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sissi.
Biden menjangkakan bantuan kemanusiaan itu dapat tiba di Gaza menjelang Jumaat.
“Kami ingin mengeluarkan sebanyak mungkin trak, saya kira mungkin 150 atau sekitar jumlah itu. Tidak semua akan bergerak dalam gelombang pertama.
“Jika terdapat gelombang kedua, kami akan melihat bagaimana perkembangannya, komitmen adalah jika, memang benar-benar mereka melintasi sempadan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan berada di sebelah sana,” katanya.
Kenyataan Biden kepada pemberita dibuat ketika dia mengakhiri lawatan selama lebih 7 jam ke Israel pada Rabu di mana Biden dikatakan menggesa Israel untuk berundur dari peperangan.
Bagaimanapun kurang jelas sejauh mana usaha itu akan berhasil untuk mengurangkan ketidaktentuan di timur tengah terutamanya selepas rancangan AS gagal untuk menghentikan kekejaman Israel.
Selain itu, Biden juga menjanjikan bantuan ketenteraan untuk membantu Israel mengekalkan sistem pertahanan udara Iron Dome dan akan meminta Kongres AS minggu ini untuk pakej sokongan pertahanan yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk Israel.
Melalui klip video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Biden berkata “saya datang ke Israel dengan satu mesej, anda (Israel) tidak sendiri. Anda tidak sendiri. Selangi AS ada dan akan sentiasa ada, kami tidak akan biar anda sendiri.”
Sementara itu, penganalisis politik kanan Al-Jazeera, Marwan Bishara mengkritik Biden dengan menyifatkan bantuan itu terlalu kecil dan terlambat.
Menurutnya, jika Biden melakukan perjalanan selama 13 jam dengan Air Force One untuk memberikan pelukan kepada pemimpin zionis, Benjamin Netanyahu kemudian hanya berjaya membawa masuk 20 trak kepada 2.3 juta rakyat Palestin, ia adalah satu perbuatan yang sia-sia yang diumpamakan seperti hanya setitik air di dalam baldi.
Beliau mempersoalkan mengapa Biden tidak mendesak lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada orang yang tidak bersalah di mana perkara itu tidak memerlukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, sebaliknya hanya memerlukan moral dan akal fikiran.
Sementara itu, Israel dalam satu kenyataan dilaporkan berkata akan membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dari Mesir namun pengepungan di wilayah Palestin diteruskan.
“Berdasarkan permintaan Presiden Biden, Israel tidak akan menggagalkan bekalan bantuan kemanusiaan melalui Mesir,” kata pejabat Netanyahu.
Kenyataan itu menyatakan bantuan kepada orang awam di selatan Gaza akan dibenarkan selagi bekalan ini tidak sampai ke Hamas.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat ini 1 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dalam masa 10 hari terakhir ini.