19 OKT : Kerajaan akan mengumumkan perincian berkait pelaksanaan apungan harga ayam dan telur, 30 Oktober ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini pihaknya masih di peringkat perbincangan.
“Perkara tersebut dibincangkan bersama dengan industri iaitu mereka yang mengeluarkan telur dan ayam.
“Pihak Ketua Setiausaha (KSU) kita sedang memainkan peranan supaya harga nanti tidak naik begitu mendadak,” katanya selepas perasmian Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Jumaat lalu mengumumkan kawalan harga sementara bagi ayam dan telur akan ditarik balik dan diapungkan di mana harga sumber protein itu akan ditetapkan pasaran.
Ia susulan harga semasa bagi kedua sumber protein itu jauh lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Dalam pada itu Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak dapat menjangka sama ada kaedah itu akan dilaksanakan untuk tempoh panjang atau pendek kerana katanya ia bergantung pada keadaan ekonomi.
“Biarlah pasaran yang menentukan. Kita tak boleh jamin sampai bila sebab tak tahu suasana dunia sekarang ekoran perubahan cuaca yang ketara,” katanya.