Prinsip PM bolehkan badan kehakiman berfungsi bebas
19 OKT : Prinsip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan badan kehakiman berfungsi tanpa rasa takut dan pilih kasih.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata Anwar sangat percaya pada prinsip kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman boleh melaksanakan tugas dengan bebas.
“Sebagai ketua Badan Kehakiman Malaysia, saya boleh memberi jaminan bahawa Badan Kehakiman Malaysia, melalui prinsip Kedaulatan Undang-undang yang dianuti oleh kerjasama ASEAN, akan terus melaksanakan fungsinya tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa berat sebelah bagi mana-mana pihak tertentu.
“Perdana menteri sangat percaya dengan prinsip ‘kanonik’ ini dan sokongannya menunjukkan bagaimana eksekutif dan badan kehakiman boleh terus melaksanakan fungsi mereka secara bebas antara satu sama lain namun, pada masa yang sama, memberikan sokongan di mana diperlukan,” kata Tengku Maimun.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN (ALA) ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN 2023, hari ini.
Turut hadir Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon selaku Presiden ALA, ketua-ketua hakim, peguam negara serta pengamal undang-undang dari negara ASEAN.
Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata ALA membuat kemajuan yang luar biasa dalam bidang undang-undang, memupuk rangkaian perundangan dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN.