20 OKT : Malaysia kini fokus dan komited dalam memastikan bantuan kemanusian dapat disalurkan segera bagi meringankan beban ditanggung rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sepakat supaya usaha tuntas bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan yang sedang berlaku di Palestin ketika ini.
Menerusi perbualan telefon bersama Mahmoud pada Khamis, kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan perkembangan terkini di Gaza.
“Semasa perbualan ini, saya juga menerima penjelasan terkait serangan yang dilakukan rejim Zionis ke atas orang awam, sayugia kami berdua mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
“Kami juga berharap semua pihak dapat berusaha untuk memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan kadar segera kepada rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Anwar kini berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak GCC-ASEAN yang akan berlangsung awal pagi esok.
Malaysia adalah penyelaras ASEAN bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang bertujuan mengoptimumkan kerjasama antara kedua-dua pertubuhan serantau itu.
Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin dan mencari jalan untuk menoktahkan penderitaan penduduk Gaza susulan tindakan ketenteraan terkini oleh rejim Zionis.