Awas pelaburan meragukan : TH
21 OKT : Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan orang ramai termasuk pendeposit agar berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Kata TH, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan skim pelaburan di media sosial untuk memperdaya orang ramai.
“Iklan-iklan ini akan dihubungkan dengan aplikasi WhatsApp untuk terus memperdaya orang ramai dengan menjanjikan keuntungan tinggi dan pantas.
“Lembaga Tabung Haji menyarankan pendeposit dan orang ramai sentiasa berwaspada dengan tipu helah dilakukan oleh ‘scammer’,” kata TH melalui satu kenyataan.
TH memaklumkan pendeposit sentiasa diberikan peringatan dan nasihat mengenai perkara itu menerusi platform komunikasi rasmi institusi berkenaan.
Pendeposit dan orang ramai boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03 62071919 untuk sebarang pertanyaan.