21 OKT: Ahli Parlimen kerajaan kesal dengan tindakan pengguna media sosial yang dilihat membawa naratif jahat terhadap keadaan kesihatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkongsi tangkap layar yang dilihat mempertikai kemasukan Timbalan Presiden PKR itu ke hospital.
“Sampai begini sekali bawa naratif jahat di media sosial. Kalau tak mahu mendoakan atau simpati, cukup sekadar berdiam.
“Semoga Allah beri kelembutan dan kewarasan dalam hati kita semua,” tulisnya menerusi satu hantaran di platform X, semalam
Individu yang mengguna akaun Naratif Rakyat mendakwa masalah kesihatan dihadapi Rafizi hanya sekadar drama untuk meraih simpati.
Sebelum ini tular satu gambar tangkap layar memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan kebajikan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk melawat Rafizi pada 16 Oktober lalu.
Awal hari ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan keadaan Rafizi stabil selepas menjalani pembedahan sten jantung.
Rafizi dikatakan dikejarkan ke PPUM selepas mendapat serangan jantung, awal minggu ini.