21 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel dan sindiket penyeludupan ayam sejuk beku sepanjang 10 hingga 20 Oktober lalu.
Serbuan dilakukan menerusi Op Tiris dan Op Taring itu berjaya menahan 15 individu yang terbabit.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata operasi itu dilaksanakan Bahagian Jenayah Hidupan Liar Biro/Risikan Siasatan Khas (WCB/PSK) yang melancarkan empat serbuan Op Tiris dan lapan serbuan Op Taring di seluruh negara.
“Seramai 12 termasuk 11 lelaki tempatan berusia 20 hingga 48 tahun dan seorang warga Myanmar berumur 22 tahun ditahan menerusi empat serbuan Ops Tiris.
“Dalam Op Taring, pasukan khas berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 26 hingga 36 tahun ditahan, bersama 54,515 kotak pelbagai makanan beku, 144 paket gula pasir dan 880 paket minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Hazani, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14,121,465.36 dan kes disiasat mengikut Enakmen Haiwan 2015 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, beliau berkata WCB/PSK turut melakukan 165 serbuan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan keseluruhan tangkapan seramai 392 orang yang terdiri daripada 291 lelaki tempatan berusia 18 hingga 60 tahun, 27 wanita tempatan berusia 19 hingga 35 tahun sejak Januari hingga Oktober tahun ini.
“Dalam operasi itu, seramai 64 lelaki warga asing berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun dan 10 wanita asing berusia 30 hingga 36 tahun berjaya ditangkap.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM215,565,308.87,” katanya.