21 OKT : Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memaklumkan tentera Israel mengancam untuk mengebom Hospital Al-Quds di Semenanjung Gaza, selepas mengebom Hospital Al-Ahli beberapa hari lalu.
Menurut hantaran PRCS di platform X, hospital itu merupakan tempat perlindungan ribuan wanita dan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan bertubi oleh rejim zionis.
PRCS berkata, terdapat sekitar 12,000 individu berlindung di hospital berkenaan termasuk 70 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan wanita yang berada dalam keadaan ketakutan ketika ini.
Menerusi satu temu bual bersama Al Jazeera, wakil PRCS, Nebal Farsakh berkata agak mustahil untuk mereka mengosongkan hospital itu dalam tempoh yang singkat.
“Mustahil untuk kami mengosongkan hospital ini dengan cepat, terutama hospital ini mempunyai 500 pesakit yang sedang mendapatkan rawatan,” ujarnya.
PRCS juga mempersoalkan jika terdapat kuasa dunia lain yang mampu menghentikan ancaman Israel yang membunuh nyawa orang awam di fasiliti kesihatan.
Pada masa sama, PRCS turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menghalang misi pengeboman Israel ke atas hospital berkenaan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds daripada ancaman serangan Israel.
“Amat penting bagi masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera bagi mengelak tragedi yang menimpa Hospital Arab Al Ahli pada Selasa lepas berulang,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita WAFA.
“PCRA yang mengendalikan Hospital Al Quds telah diberi notis agar mengosongkan hospital itu,” katanya yang turut memaklumkan Hospital Al Quds menampung lebih 400 pesakit ketika ini.
Dalam pada itu, 30 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan awal pagi oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza, pada Jumaat.
Sementara dalam serangan berasingan agensi berita Palestin (WAFA) melaporkan, Israel mengebom beberapa bangunan kediaman di bandar Rafah selatan Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban.
Setakat ini, serangan Israel yang bermula sejak 7 Oktober mengakibatakan lebih 5,000 mangsa terkorban dan 18,500 cedera di Gaza.