22 OKT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapatkan tarikh baharu untuk bacaan kali kedua Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) di Parlimen.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, tarikh berkenaan adalah penting sebelum memutuskan sama ada RUU itu akan sekali lagi dibawa ke peringkat Kabinet atau tidak.
“Insya-Allah, kita sedang dapatkan tarikh daripada Parlimen. Doakan mudah-mudahan kita dapat buat bacaan kali kedua untuk pembentangan.
“Kita akan dapatkan dulu tarikh itu. Sama ada ‘review’ (semak semula) atau tidak, itu kita akan lihat dengan teliti.
“Dan seperti semua tahu, sebenarnya kita sudah bawakan di Parlimen untuk bacaan kali kedua dan penyata daripada Jawatankuasa Khas Parlimen (JKPK),” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kesedaran Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan di Damansara, hari ini.
5 Oktober lalu, Dr Zaliha berkata, RUU tersebut, yang juga dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG), akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada 10 Oktober.
Bagaimanapun, pada tarikh tersebut, pembentangan itu ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.
Ketika ini, RUU itu masih terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang bermula semalam hingga 30 November depan.