22 OKT : Susulan kejadian yang berlaku di Palestin, ia turut memberi kesan kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah sehingga menitiskan air mata mengenangkan nasib yang berlaku.
Dalam hantaran terbaharu di media sosial, baginda bertitah, sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang sedang berlaku di bumi Gaza.
“Sejak 8 Oktober lalu, saya mengikuti berita di dalam media sosial mengenai situasi semasa di Palestin. Saya berasa amat sedih melihat apa yang sedang berlaku ketika ini.
“Menerusi majlis ini para pelajar berkongsi pengalaman yang dilalui sewaktu berada di Palestin serta menyuarakan apa yang boleh dibantu dunia,” titah baginda.
Baginda yang juga Canselor UTM berkenan berangkat ke majlis ramah-mesra bersama pelajar-pelajar Palestin di universiti berkenaan, semalam.
Berangkat sama, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda yang juga Pro-Canselor UTM.
Pada majlis itu, beberapa pelajar Palestin turut berkongsi ketika ini bukan sahaja ribuan rakyat di negara itu mengalami kecederaan.
“Malah mereka turut berdepan dengan krisis bekalan makanan dan air. Mereka juga menyatakan kebimbangan mengenai keadaan keluarga masing-masing disebabkan tiada kemudahan internet dan bekalan elektrik,” ujar mereka.
Seramai 31 pelajar dari Palestin ketika ini sedang mengikuti pengajian mereka di UTM, peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.