23 OKT : Kerajaan disaran melibatkan pembangkang dalam usaha memulihkan ekonomi negara termasuk mencari penyelesaian kepada hutang negara.
Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata isu hutang negara tidak perlu dijadikan modal politik untuk meraih sokongan.
Katanya, perlu ada perdamaian politik antara kerajaan dan pembangkang untuk memulihkan ekonomi kerana tindakan menuding jari hanya akan mendorong negara ke arah permasalahan tanpa penghujung.
“Semua parti di dalam dewan ini mempunyai pengalaman kerajaan memerintah.
“Kita tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apakah tindakan yang telah dilaksanakan semasa menjadi kerajaan untuk mengatasi segala krisis dan ketidaktentuan ekonomi global pada masa itu.
“Saya memohon Kementerian Kewangan mengadakan sesi libat urus dengan semua parti dalam kadar segera sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk memulihkan ekonomi kita.
“Kebersamaan kita adalah teras kepada kejayaan pemulihan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada beliau meminta Kementerian Kewangan menambah baik nilai kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) dalam usaha membaiki persepsi pelabur asing terhadap negara.
Menurut Mohd Shahar Malaysia mesti mempunyai pegangan aset-aset kewangan di luar negara berbanding pelabur luar yang memiliki aset-aset kewangan negara untuk membaiki IIP.
“Saya memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan bagaimana untuk meningkatkan kadar kedudukan pelaburan kerana nisbahnya, jika kita naikkan satu peratus kenaikan IIP, bermakna nilai ringgit akan mencatatkan kenaikan sebanyak 0.08 peratus,” katanya.
Beliau berkata, kepercayaan kelayakan kredit sesebuah negara yang dijalankan oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, Fitch dan S&P Global Ratings amat penting kerana ia mencerminkan kewibawaan negara sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan berkualiti.
Katanya, kesan penurunan penarafan dan unjuran kepada ekonomi dan kewangan negara termasuk menyebabkan aliran keluar modal kerana sentimen pelabur yang lemah.
“Persoalannya bagaimana kita hendak mengatasinya?
“Bilakah Akta Tanggungjawab Fiskal akan dikuatkuasakan dan bilakah kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan di Dewan Rakyat untuk memastikan pematuhan tatakelola dapat ditambah baik?” katanya.