PM kesal kuasa besar tidak endah pembunuhan di Palestin
23 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekesalan terhadap kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang seolah-olah ‘tidak mempunyai masa’ untuk menghentikan kezaliman, penindasan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Malah, mereka juga bersikap dingin terhadap usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau menegaskan, pembunuhan kanak-kanak, wanita serta rakyat Palestin yang tidak berdosa mesti dihentikan segera dan itu perkara utama perlu dilakukan semua pihak termasuk kuasa-kuasa besar.
“Malaysia bukanlah negara besar, bukan negara Arab, bukan negara Teluk yang berjiran dengan Palestin.
“Tetapi kita bertanggungjawab menyuarakan hati nurani umat dan rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan diaspora dan pelajar Malaysia di Mesir di Kaherah, malam tadi.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,200 rakyat Malaysia itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Kaherah.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau memberi kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tanggungjawabnya membanteras gejala rasuah di negara ini.
Ketika menjawab pertanyaan diaspora pada majlis ramah mesra itu, Anwar berkata, beliau yakin gejala rasuah di negara ini boleh diatasi dengan sokongan semua pihak termasuk pemimpin tertinggi negara tidak terkecuali perdana menteri, perlu mengelak menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.
Anwar kini berada di Kaherah dalam lawatan kerja dua hari ke Mesir dan hari ini. beliau dijadual berjumpa Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim