23 OKT : Perlaksanaan subsidi bersasar serta pengurangan pemberian subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) bukanlah bertujuan bagi ‘menganak tirikan’ golongan itu.
Sebaliknya, ini merupakan antara usaha kerajaan untuk keluar daripada kegawatan ekonomi selain mempertahankan hak golongan yang selayaknya menerima subsidi itu.
Dr Mohammed Taufiq Johari, (PH-Sungai Petani) berkata penyasaran semula subsidi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu keperluan bagi memastikan kelancaran ekonomi negara meskipun ada sesetengah pihak yang memandang usaha ini sebagai radikal.
“Saya tahu ada pihak yang tidak berpuas hati seolah-olah kerajaan menganak tirikan golongan maha kaya yang menyumbang kepada negara tetapi percayalah ini adalah satu kewajipan lebih-lebih lagi ketika kita sedang cuba keluar dari kegawatan ekonomi.
“Kita perlu ingat, berapa peratus rakyat negara kita yang susah dan selama ini. Kekayaan itu diambil daripada hasil, jerih dan keringat warga golongan miskin di negara kita.
“Subsidi bersasar bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang kurang berkemampuan. Namun sejak sekian lamanya subsidi ini turut dinikmati oleh golongan yang berkemampuan.
“Kita seharusnya menyambut baik usaha ini kerana kita hendak membantu orang yang susah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang- Undang Perbekalan 2024 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyasaran semula subsidi seperti elektrik merupakan tindakan yang wajar kerana 10 peratus golongan T20 menikmati 50 peratus subsidi elektrik apabila ia dilaksanakan secara pukal.
“Penjimatan RM4 bilion daripada subsidi bersasar elektrik ini akan diberikan semula secara langsung kepada golongan yang rentan khususnya golongan-golongan yang kurang berkemampuan.
“Bukankah ini lebih baik jika dibandingkan dengan subsidi pukal?,” katanya.
Dalam pada itu, Taufiq berkata usaha kerajaan memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan memperuntukkan RM44 bilion dalam Belanjawan 2024 lalu dilihat mampu menarik minat golongan muda dalam menceburi perniagaan kreatif.
Katanya, peruntukan RM1.4 bilion bagi peralatan dan premis penjaja serta RM720 juta bagi wanita dan golongan belia merupakan inisiatif yang baik bagi membantu golongan-golongan itu meningkatkan pendapatan hidup.
Mengambil contoh di Sungai Petani, beliau berkata daerah itu kini menjadi hab anak muda menjalankan perniagaan kreatif seperti perniagaan kopi jalanan, pakaian terpakai, kraftangan dan sebagainya.
“Kreativiti seperti ini kita perlu angkat dan beri ruang serta peluang untuk mereka terus berkarya dan memajukan diri mereka dan pada akhirnya golongan muda ini tidak semata-mata mengharapkan subsidi kerajaan.
“Golongan generasi muda inilah yang nantinya akan menjadi pemacu serta memberi pulangan lumayan kepada negara. Saya berharap usaha anak muda di Sungai Petani menjadi contoh kepada anak muda di negeri lain,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL