23 OKT : Tiada perbincangan berkait rombakan Kabinet dibuat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu disahkan Zahid malam tadi sambil memberikan bayangan beliau dijangka kekal di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“….tapi saya rasa tidak ada pertukaran kementerian kerana PM (Anwar) tidak pernah bincang pun dengan saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV di Putrajaya pada Ahad.
Sebelum ini, desas-desus tersebar berkait rombakan Kabinet antaranya melibatkan Zahid yang kini memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dikatakan akan bertukar ke Kementerian Dalam Negeri.
Pada 3 Oktober, Zahid dilaporkan menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung rombakan Kabinet kerana ia hak prerogatif Anwar.
Mengenai MAKSPEN, Zahid mahu kejohanan yang berlangsung setiap dua tahun itu dianjurkan lagi tahun hadapan.
“Kali terakhir kita adakan sukan ini ialah pada 2015 dan selepas itu tiada lagi. Dengan ini saya arahkan tahun depan wajib diadakan semula,” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan Hari Keluarga KKDW diadakan sempena MAKSPEN 2024.