23 OKT : Kerajaan sedang meneliti keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang yang boleh mengawal selia semua platform e-dagang bagi membanteras pembelian dan penghantaran dadah melalui aplikasi dalam talian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah ini dilihat dapat mewujudkan game changer bagi membanteras gejala dadah dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
“Akta Dadah Berbahaya 1952 juga perlu dipinda bagi memperketatkan undang-undang serta mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemilikan dan pengedar dadah, katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD), hari ini.
Selain itu, beliau berkata Pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan bagi memastikan JSJN berupaya membanteras pengedaran dadah dengan lebih sistematik dan komprehensif.
“JKDM turut mencadangkan akses kepada rawatan dan pemulihan diperluaskan dengan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 serta Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969.
“Sekiranya akses ini dapat dilebarkan, usaha mengalihkan penagih dadah bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada rawatan dan pemulihan serta merawat pulih penagih bahan seperti ketum dan gam dapat dilaksanakan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata usaha itu juga secara tidak langsung dapat mengurangkan stigma dan kesan pemenjaraan kepada penagih dadah.
Justeru, beliau berkata pelan strategik dan komunikasi komprehensif akan disediakan untuk meningkatkan pembabitan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan gejala dadah.
“Penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberi pencegahan awal tentang bahaya dadah kepada masyarakat dengan cara mendidik golongan berisiko melindungi diri daripada terjebak gejala dadah,” katanya.