Lantang pertahan Palestin, Malaysia mula dikritik : PM
24 OKT : Malaysia mula dikritik dan menjadi perhatian negara-negara kuasa besar susulan kelantangan membela hak Palestin.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak sesekali gentar dengan mana-mana ugutan.
“Saya dikritik, diserang oleh beberapa kalangan Eropah, Amerika Syarikat, dan Israel. Kita harus berwaspada, selagi saya diberikan mandat oleh rakyat, saya tidak akan terima ugutan itu, kita lawan tetap lawan.
“Jangan pernah cuba untuk mengugut kami. Malaysia merupakan negara yang mandiri, kita yang putuskan apa yang benar. Kita memahami makna kebebasan, kita akan tetap bersama rakyat Palestin semalam, hari ini dan esok, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Arena Axiata, Bukit Jalil, malam ini.
Tegas Anwar, keputusan Malaysia dalam membantah serangan rejim Zionis dilakukan secara bersama dengan negara-negara Islam terutamanya di sekitar Palestin.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak cuba memecahbelahkan perpaduan negara ini dengan menggunakan isu Palestin.
Tegasnya, sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia meperkukuh perpaduan dengan bersama-sama mempertahankan kebebasan rakyat Palestin,sekali gus mengangkat martabat negara.
“Saya tahu ada pihak kurang sabar, hendak menyerang dengan menggunakan isu ini. Saya hendak nasihat, jangan guna isu ini untuk memecahbelahkan kita. Belajar daripada pengalaman.
“Masa untuk kita perkuatkan perpaduan kita, pertahankan kebebasan dan angkat martabat negara kita. Kita harus sampaikan kepada kawan-kawan kita baik orang Islam, Cina atau India, Sabah atau Sarawak. Isu ini adalah isu bersama.
“Mengapa kita suarakan dengan lantang? Kerana orang mati dibunuh, anak-anak kecil dan wanita dibunuh dengan kejam, rumah dibedil dan dimusnahkan, hospital dirosakkan. Mana mungkin kita boleh berbicara dengan aman dan tenang,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohammad Hassan; Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
Malam ini, lautan manusia membanjiri stadium bagi menyatakan solidariti kepada Palestin dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin.
Ibarat ‘lautan putih’, perkarangan stadium Arena Axiata dipenuhi peserta himpunan yang hadir berpakaian serba putih bagi mempamerkan solidariti mereka kepada rakyat negara Timur Tengah itu yang terus ditindas dan dizalimi rejim Israel.
Himpunan itu turut diwarnai dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera Palestin, selain digemakan dengan laungan ‘Bebaskan Palestin’ dan ‘Israel Cuak’. OLEH : AISYAH BADRUL
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim