24 OKT : Kerajaan kekal berpendirian tegas mengecam sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan dalam konflik perang Palestin-Israel.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata dakwaan larangan bertakbir dan menurunkan sepanduk Presiden Israel, Benjamin Netanyahu ketika perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka pada Ahad, jelas tidak mencerminkan pendirian Malaysia dalam usaha mempertahankan Palestin.
Tegas beliau, semua pihak perlu melihat insiden itu hanya berlaku dalam satu kejadian dan ia tidak mencerminkan pendirian sebahagian umat Islam yang cintakan perdamaian.
“Pendirian kerajaan akan disampaikan dengan penuh tanggungjawab. Contohnya dalam menzahirkan rasa simpati kepada Palestin
“Bila bercakap soal boleh atau tidak mengecam Presiden Israel, pendirian kerajaan juga jelas, hakikatnya kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan mengecam tindakan rejim Zionis.
“Tetapi jika perhimpunan yang hanya melibatkan 300 hingga 400 orang dan hanya dianjurkan oleh satu pertubuhan yang meletakkan apa yang patut dan tidak patut dalam perhimpunan itu. Kita harus melihat secara fakta dan kejadian pada ketika itu. Ia tidak mencerminkan sepenuhnya pendirian kerajaan dan sebahagian besar umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin kerajaan memperincikan adakah Kerajaan ada mengeluarkan garis panduan tentang perkara-perkara yang boleh diucapkan atau tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman, di Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka iaitu Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin dikecam teruk apabila peserta-peserta yang hadir didakwa ditegah bertakbir dan larangan membawa sepanduk tertentu pada Ahad.
Bagaimanapun Musa pada Isnin tampil memohon maaf serta menjelaskan pihaknya hanya mempertahankan pendirian badan bukan kerajaan (NGO) yang menganggap sepanduk mahupun gambar yang memaparkan wajah Netanyahu sebagai satu tindakan provokasi.
Malah katanya, peraturan yang diambil selaras dengan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata larangan yang dilaksanakan itu berdasarkan kepada budi bicara dan kefahaman penganjur program berkenaan.
“Soal dibenarkan atau tidak dibenarkan, takbir dan sebagainya saya tidak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir maknanya melaungkan kebesaran Allah, tidak ada khilaf antara kita.
“Halnya adalah bagaimana penganjur itu mengikut budi bicara itu dan kefahaman mereka. (Ahli Parlimen) Machang boleh anjurkan 10,000 hingga 20,000 peserta esok, takbirlah kalau saya ada masa, saya akan ikut serta dan saya akan takbir sekuat-kuatnya,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL