24 OKT : Satu letupan berlaku Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Jalan Sultan Salahuddin mengejutkan kakitangan yang kemudiannya bergegas keluar menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam1.58 tengah hari tadi.
Kebakaran dilaporkan berlaku dalam bilik elektrik (LV) di tingkat lima.
Turut berada di lokasi kejadian ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang sepatutnya menyertai sesi libat urus bersama media dijadualkan jam 2.30 petang.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Rusdi Ismail berkata kebakaran kabel bawah tanah dipercayai menjadi punca bunyi letupan tersebut.
“Hasil pemeriksaan anggota bomba bersama juruelektrik bangunan mendapati letupan berpunca daripada kebakaran kabel dibawah tanah.
“Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan dan juga mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.