NREP: Arab Saudi ikuti perkembangan Malaysia
24 OKT : Pengiktirafan kerajaan Arab Saudi terhadap inisiatif Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui (NREP) sebagai bukti negara itu sentiasa mengikuti perkembangan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengiktirafan berkenaan juga membuktikan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman tertarik dengan inisiatif Malaysia.
“Baginda (Putera Salman) tertarik dan mahu kerjasama kita dalam sumber tenaga boleh baharu, hidrogen, hidrogen hijau dan hal-hal yang kita sebut dalam hala tuju transisi tenaga kita.
“Saya tentu terkesan kerana nampaknya negara Arab memandang serius perkembangan mutakhir di Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir, lapor Bernama.
Dalam kenyataan bersama Malaysia dan Arab Saudi semasa lawatan kerja Anwar ke Riyadh baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi memperakui inisiatif NREP Malaysia itu sebagai langkah positif ke arah transisi kepada tenaga hijau.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim