24 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama berhimpun pada Perhimpunan Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.
Katanya, perhimpunan malam ini bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia mengutuk kezaliman rejim Israel ke atas Palestin.
Anwar berkata Malaysia menuntut genjatan senjata sekali gus menoktahkan kesengsaraan rakyat Palestin.
“Mari bersama nyatakan pendirian tegas mengutuk pembantaian Zionis Israel ke atas Palestin malam ini sebagai satu pasukan yang berpadu dan utuh.
“Kita tuntut gencatan senjata, hentikan serangan, mudahkan bantuan kemanusiaan, noktahkan kezaliman, kesengsaraan dan penderitaan yang telah dialami selama ini. Jumpa malam nanti!,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Mengikut atur cara program malam ini yang dijangka bermula 7 malam, selain ucapan Anwar, beberapa pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga dijadualkan berucap.
Peserta yang hadir disarankan berpakaian warna putih.