25 OKT : Cubaan pihak tertentu mempolitikkan gambar isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu disifatkan tidak bertanggungjawab.
Wanita PKR Pulau Pinang yang kecewa menyelar tindakan tersebut kerana masih ada yang sanggup bermain politik dengan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
Ketuanya, Nurhidayah Che Rose berkata beberapa foto digunakan dan diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab seakan-akan berusaha untuk mewujudkan persepsi bahawa bekas timbalan perdana menteri itu mempunyai hubungan akrab dengan Sara.
“Kami percaya ia merupakan satu daripada cara untuk menyebarkan kebencian dan anasir politik murahan kepada rakyat Malaysia yang kini turut terkesan dengan perbuatan gila Israel terhadap saudara-mara kita di Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, gambar dan video Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat pada 21 September lalu dimuat naik di media sosial.
Nurhidayah berkata gambar tersebut diambil ketika Wan Azizah menghadiri sesi perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara bersempena UNGA.
“Siapa sangka, sedang saudara-mara dan anak-anak di Palestin dibunuh dan ditindas dengan kejam, ada pihak di negara Islam ini tergamak mempolitikkan keadaan itu demi memuaskan dendam serakah politik yang melampau.
“Janganlah kita menjatuhkan maruah agama dan bangsa hanya untuk memenangkan anasir politik murahan,” katanya.
Serangan Israel tanpa henti di Palestin kini meragut lebih 5,795 nyawa dan 18,000 cedera. Dilaporkan 21 wartawan terbunuh setakat ini sejak serangan bermula 7 Oktober lalu.
Banyak hospital terpaksa ditutup susulan kehabisan bekalan elektrik yang menyebabkan pesakit dan bayi berisiko tidak terselamatkan.
Terkini, Mesir, Jordan dan Arab Saudi menggesa genjatan senjata dikuatkuasakan segera di wilayah itu.