25 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sama ada tindakan seorang calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mengagihkan beras kepada pengundi mempunyai unsur rasuah.
Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata pihaknya sudah diarah untuk meneliti perkara itu selepas dimaklumkan mengenai satu laporan akhbar mengenai pengagihan beras oleh seorang calon PRK Jepak.
“Kami kena siasat dahulu. Saya akan kemukakan perkara ini kepada ‘task force’ di Bintulu,” katanya, lapor Berita Harian.
Sebelum ini, calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Chieng Lea Phing didapati mengagihkan kira-kira 1,000 kampit beras kepada orang awam.
Memetik laporan dalam talian akhbar Utusan Borneo pada Selasa, pengagihan beras itu merupakan strateginya bagi berhadapan saingan tiga penjuru berdepan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Menurut Lea Phing, beliau sudah mengagihkan sebanyak 500 kampit beras kepada golongan memerlukan dan kurang bernasib baik setakat ini.
“Mesej saya ingin sampaikan di sini ialah kehidupan rakyat di Bintulu semakin terhimpit dengan kos sara hidup semakin tinggi yang mana ramai orang khususnya golongan B40 berdepan dengan krisis kehidupan teruk pada masa sekarang,” katanya.
PRK Jepak melibatkan pertembungan tiga penjuru antara Chieng, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang
PRK yang ditetapkan pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi Datuk Talib Zulpilip daripada GPS pada 15 September lepas.