25 OKT : Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung tanpa rehat tengah hari ini terhenti hampir lima minit ekoran jumlah ahli Parlimen tidak mencukupi korum ditetapkan.
Penangguhan seketika itu berlaku ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 oleh Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat).
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) membangkitkan peraturan mesyuarat 13(1) selepas mendapati kehadiran ahli Parlimen tidak cukup sekurang-kurangnya 26 orang dalam dewan.
“Tak cukup korum. Hanya 17, 18 orang saja,” katanya.
Bagaimanapun, Chong Chieng Jen (PH-Stampin) bangun menjelaskan majoriti ahli Parlimen sedang menghadiri taklimat di bangunan Parlimen.
“Ada taklimat di aras dua. Kebanyakan Ahli Parlimen mengahadiri taklimat yang diadakan oleh KPM (Kementerian Pendidikan),” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong mengarahkan loceng dibunyikan dan ia berlangsung selama kira-kira dua minit.
Persidangan kemudian bersambung semula kira-kira 1.35 tengah hari selepas bilangan ahli Parlimen mencukupi.
Ini merupakan kejadian kedua berlaku pada sesi persidangan Parlimen yang bermula sejak 9 Oktober lalu.
Khamis minggu lalu, persidangan tertangguh seketika selepas dewan tidak cukup korum untuk bersidang.