25 OKT : Semua wakil rakyat dinasihatkan agar mengutamakan isu di kawasan masing-masing ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata sebagai wakil rakyat, ahli-ahli Parlimen tidak sepatutnya terbawa-bawa oleh sesuatu isu hingga lupa untuk memperjuangkan nasib rakyat di kawasan Parlimen diwakili mereka.
Beliau menyuarakan perkara itu selepas berpuas hati dengan strategi digunakan Young Syefura Othman (PH-Bentong) ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024, malam ini.
Ramli turut menasihatkan semua wakil rakyat supaya tidak terlalu terbawa-bawa oleh sesuatu isu sehingga terlupa untuk memperjuangkan nasib rakyat di kawasan Parlimen diwakili mereka.
“Mungkin kita boleh ‘ponder’ strategi Bentong (Young Syefura). (Memulakan perbahasan dengan) isu kawasan dulu dan beralih ke topik antarabangsa atau umum pada lima minit terakhir.
“(Jika masa) ada lebih balik ke (isu) kawasan kerana tanggungjawab sebagai ahli Parlimen adalah untuk menjaga kawasan. Jadi utamakanlah kawasan (masing-masing),” katanya.
Kata Ahli Parlimen Cameron Highlands itu, lima minit terakhir boleh digunakan wakil rakyat untuk membangkitkan isu lain.
“Ini satu perkara yang saya mahu kongsikan dari segi perbahasan selepas hampir setahun saya dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Kadang-kadang kita terbawa-bawa sehingga terlupa tanggungjawab kepada kawasan diwakili.
“Apabila sampai lima minit terakhir baru menggelupur (untuk membangkitkan isu di kawasan masing-masing), mungkin strategi Bentong boleh dipertimbangkan oleh semua ahli Parlimen lain,” katanya.
Terdahulu, Young Syefura memulakan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar dengan membawa isu setempat sebelum beralih ke topik nasional.
Beliau kemudiannya menyentuh pergolakan di Palestin, kira-kira lima minit sebelum had masa yang ditetapkan kepada setiap pembahas tamat.