26 OKT : Petisyen yang mencabar kemenangan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diputuskan esok.
Petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid itu bagi mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu atas dakwaan rasuah.
Peguam mewakili Abdul Hakim, Amin Othman berkata Hakim Mahkamah Pilihan Raya Melaka, Datuk Abu Bakar Katar akan membuat keputusan itu pada jam 9 pagi esok.
“Kita berharap akan menang kes ini, tetapi tunggu keputusan esok,” katanya lapor BH, hari ini.
Sebelum ini, Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen difailkan calon BN itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Pada 19 November 2022, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan buat penggal ketiga dengan majoriti 4,411 undi selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).
Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi, Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507).