26 OKT : Kementerian Dalam Negeri akan terus komited menggalakkan majikan khususnya dalam sektor swasta menggajikan bekas banduan bagi memberi peluang kedua kepada mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat selepas tamat menjalani hukuman.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata kementeriannya menerusi Jabatan Penjara Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap golongan ini dengan menyediakan peluang pekerjaan di samping menggalakkan majikan menerima mereka dengan memberi ganjaran atau insentif.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak khusunya kementerian lain untuk turut bersama-sama dalam usaha merealisasikan inisiatif ini.
“KDN melalui Jabatan Penjara Malaysia mengharapkan majikan lebih banyak majikan menerima bekas banduan bekerja.
“Beberapa kementerian juga bersama-sama mendukung usaha JPM agar memberi penekanan kepada golongan ini dengan memberi peluang pekerjaan dalam masa sama ganjaran dan inisiatif dapat dirasai bersama oleh pihak majikan
“Kita sentiasa menggalakkan pihak-pihak lain menjalankan kerjasama , antara agensi yang menyokong usaha ini termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia, Perkeso dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menggalakkan majikan menerima bekas banduan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul berkata KDN melalui JPM juga menggalakkan penghuni penjara untuk mengikuti kursus kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang menyelesaikan tempoh hukuman mereka.
Selain itu, galakan ini juga bertujuan membantu mereka mengatasi rintangan sosial dan mengembalikan mereka ke dalam masyarakat sebagai individu lebih positif dan berdaya saing
“Antara program yang dilaksanakan adalah Program Akademik Industri melibatkan JPM dan Malaysia Productivity Coorperation, selain itu, kita juga menyediakan program ‘Reben Kuning’ iaitu program latihan kemahiran bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
“Selain itu, kita juga menyediakan program peluang kedua PEKA iaitu latihan kerjaya dalam bidang petanian dan perladangan. Melalui program-program reformasi yang diumumkan, akan banyak lagi program-program lain untuk memperlihatkan penjara bukan pusat hukuman tetapi tempat memberi peluang kedua agar mereka tidak kembali ke penjara,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan menerusi program yang dilaksanakan, peratus banduan kembali semula ke penjara berkurang berbanding banduan yang tidak mengikuti program-program tersebut.
“Merujuk data, daripada 800 orang banduan yang mengikuti program, mereka yang melakukan kesalahan berulang hanya 0.24 peratus iaitu seorang sahaja.
“Maknanya, pendekatan ini sangat berkesan berbanding mereka yang menjalani hukuman tanpa mengikuti program-program ini iaitu 18.6 peratus yang kembali melakukan kesalahan.
“Program yang dilaksanakan ini amat berkesan sekali dan kita akan lakukan lebih banyak penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL