Lantik senator ada kepakaran IT, AI
26 OKT : Senator yang dilantik ke Dewan Negara perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara ini penting supaya senator tersebut boleh menyumbang pandangan dalam penggubalan dasar seiring kemajuan dunia hari ini.
“Apabila kerajaan nak buat dasar, mesti ada sekurang-kurangnya seorang pakar dalam Parlimen yang faham AI sebagai contoh.
“Apabila Perlembagaan Persekutuan digubal pada 1956, teknologi maklumat, teknologi canggih dan AI tidak diketahui,” katanya dalam temu bual bersama akhbar berbahasa Inggeris, The Star.
Katanya, wakil daripada kumpulan yang sering dinafikan hak seperti masyarakat Orang Asli, Penan dan Bajau Laut di mana mereka mungkin tidak berpeluang berkhidmat di Parlimen juga boleh diutamakan.
Hal ini kerana tegasnya, Dewan Negara tidak boleh menjadi ‘tempat menyimpan’ ahli politik yang kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Katanya, sudah menjadi kebiasaan individu yang merupakan penyokong setia parti akan dilantik berbanding calon yang layak.
“Perdana menteri mesti pastikan perkara ini, apabila lantik senator, tak boleh lagi lantik yang tidak dipilih (PRU) hanya sebab orang itu bagus dalam parti atau orang penting dalam parti tapi tak laku (tak menang) di Parlimen.
“Anda nak dia jadi senator? Dewan Negara tak boleh jadi tempat kumpul mereka yang ditolak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyarankan individu berusia 18 tahun ke atas dilantik sebagai senator bagi memahami isu berkait belia namun ia memerlukan pindaan Perlembagaan susulan peruntukan semasa menetapkan senator boleh dilantik bagi individu sekurang-kurangnya berusia 30 tahun.