Percepat projek pembangunan, infrastruktur : PM
26 OKT : Projek pembangunan dan infrastruktur di peringkat negeri perlu dipercepatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk mempermudah proses-proses yang terlibat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Perancangan dan pembangunan koridor turut perlu mengambil kira perancangan dan potensi pembangunan dengan negara-negara jiran,” katanya melalui catatan di Facebooknya, pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, pada Rabu yang turut dihadiri semua menteri besar, ketua menteri serta wakil Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak industri.
Dalam pada itu, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI untuk menstruktur semula ekonomi negara, Anwar berkata kerajaan memutuskan untuk melaksanakan rasionalisasi agensi galakan pelaburan.
“Aktiviti promosi dan kelulusan insentif pelaburan akan dipusatkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).
“Pihak berkuasa koridor pula akan menumpukan peranan untuk menyokong pelaksanaan atau merealisasikan pelaburan,” katanya.
Menurut Anwar, status pelaburan yang masuk dan pembangunan infrastruktur terkait dengan setiap koridor turut dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
“Sejumlah RM185 bilion pelaburan kumulatif dicatatkan oleh koridor utara bagi 2022, melebihi sasaran RM146.5 bilion bagi tahun 2021 hingga 2025.
Tambahnya, Iskandar Malaysia sudah mencatat pelaburan komited berjumlah RM409.5 bilion berbanding sasaran RM383 bilion untuk dicapai sehingga 2025.
“Wilayah Ekonomi Pantai Timur pula telah menerima pelaburan komited berjumlah RM164.7 bilion,” katanya.