26 OKT : Sarawak akan menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi rasmi meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan bahawa hanya penggunaan bahasa Melayu diterima.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki berkata arahan itu tidak terpakai untuk negerinya itu.
“Itu tidak terpakai di Sarawak,” katanya, lapor Borneo Post.
Semalam, ketika merasmikan arnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di Kuala Lumpur, Anwar mengarahkan semua urusan surat menyurat di sektor kerajaan mahupun swasta dibuat dalam bahasa Melayu.
Beliau menegaskan mana-mana surat yang menggunakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan perlu dipulangkan semula.
“Kadangkala terdapat kekeliruan dalam kalangan jabatan kerajaan, universiti dan sektor swasta. Memang benar, untuk perdagangan antarabangsa kita menggunakan Bahasa Inggeris. Namun jangan cuba tinggalkan asas Perlembagaan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan. Begitu juga dalam kalangan syarikat tempatan.
“Maka, arahannya sesiapa sahaha yang menulis surat dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan. Dalam kita menggapai langit dan menerokai alam pemikiran baharu, tetapi kita harus mengakar ke bumi. Pemerkasaan budaya sastera sesuatu yang intergral dalam pembinaan bangsa.
“Jangan cuba diremehkan. Saya harap arahan ini diambil kira. Saya tidak akan melayani sebarang surat yang disampaikan rakyat atau syarikat tempatan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan,” katanya.
Anwar berkata tindakan sedemikian tidak akan menjadikan Malaysia berfikiran sempit kerana kerajaan tidak menjejaskan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.
“Ini tidak menjadikan kita sempit, kerana saya sering kali mengingatkan rakan-rakan bahawa saya tidak mungkin diminta mengajar di Georgetown University, Washington DC kalau tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Saya tidak remehkan (bahasa Inggeris),” katanya.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa Melayu atau Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.