27 OKT : Sebarang aktiviti riadah di kawasan berisiko sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024 perlu dielakkan.
Peringatan itu dibuat Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin pada Selasa.
Menurutnya sebarang aktiviti riadah di kawasan perkelahan dan air terjun perlu dielakkan
Sehubungan itu katanya, JBPM akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan dalam memastikan aktiviti seperti mendaki, berkhemah, menyusuri hutan, mandi air terjun dikawal.
“Saya menasihatkan kerajaan negeri dan Sekretariat Pengurusan Bencana negeri agar memberi penekanan serius terhadap kawalan aktiviti berkaitan lebih-lebih lagi ketika musim hujan,” katanya selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM 2023 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat akan melanda negara bermula bulan depan hingga Februari 2024 yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.
Susulan itu, beliau berkata JBPM akan membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir.
“Kami hanya membenarkan cuti kepada mereka yang benar-benar memerlukan atau terdapat sebarang perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.