27 OKT : Sekolah perlu mengawal sebarang alatan yang dibawa pelajar ketika Minggu Solidariti Palestin termasuk senjata mainan seperti yang tular.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah memaksa sekolah melaksanakan minggu tersebut.
“Itu kita kena kawal. Tadi kita bincang di jemaah menteri, pertama kita tidak galakkan dan paksa semua sekolah (laksana Minggu Solidariti Palestin).
“Keduanya kita kena kawal supaya jangan jadi masalah,” katanya kepada media selepas ditemui di sebuah restoran di Dengkil.
Sebelum ini terdapat laporan menyebut pelajar dan guru membawa senjata mainan ke sekolah yang didakwa berkaitan minggu solidariti tersebut.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini,
Menurut KPM, program itu bertujuan untuk mendidik murid tentang nilai kemanusiaan yang merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan termasuk keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.
Namun, beberapa badan bukan kerajaan dan wakil rakyat membantah arahan untuk sekolah mengadakan minggu tersebut serta menggesa kerajaan tidak membabitkan institusi pendidikan dalam isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.