Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme. Penganjuran program ini adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan KPM.
KPM menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya yang dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November 2023. Ia bertujuan mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
Justeru, KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme di sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin. Penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi adalah tidak dibenarkan sama sekali.
KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendokong isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, seyembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program ini. Semua institusi bawah KPM diminta untuk sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang telah ditetapkan.
Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati.
Kementerian Pendidikan Malaysia