27 OKT: Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak meneruskan petisyen terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.
Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau akan menyemak keputusan tersebut dengan peguam parti PKR yang ditentukan melalui Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) parti.
“Petisyen bagi Gombak Setia sudah dihantar, tiga DUN lain pula dalam penelitian, tetapi saya difahamkan pihak peguam PKR merasakan kes-kes tersebut tidak mahu diteruskan, jadi itu kita serahkan kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP).
“Kita akan tengok balik kenapa tempoh hari tidak diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Sebelum ini, PH dan Barisan Nasional (BN) merancang untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerui DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil yang memiliki majoriti kemenangan rendah.
Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).
Pada PRN 12 Ogos lalu, Hilman Idham (PN) memenangi DUN Gombak Setia dengan memperoleh undi sebanyak 30,299 undi berbanding calon BN,Datuk Megat Zulkarnain Omardin, 30,241 undi menerusi pertembungan tiga penjuru.
Sementara di Sungai Kandis, bekas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni tewas kepada Ketua Bahagian Bersatu Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) dengan undi yang diperolehi masing-masing sebanyak 28,759 dan 28,926 undi.
Di Taman Medan pula, Setiausaha PN Selangor, Dr. Afif Bahardin memperoleh 22,316 undi menewaskan wakil PH, Ahmad Akhir Pawan Chik yang ketinggalan tidak jauh dengan jumlah undi sebanyak 22,286.
Bagi DUN Dengkil, Noorazli Said daripada BN tewas kepada wakil PN, Datuk Seri Jamil Salleh dengan jumlah undi diperolehi masing-masing 33,154 dan 33,561 undi.