27 OKT : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Sementara itu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu berkuat kuasa selama lima tahun.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju mengisytiharkan Sultan Ibrahim, Sultan Johor Darul Ta’zim telah dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII selama tempoh lima tahun mulai tarikh 31 Januari 2024,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut juga, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja Melayu kecuali Kelantan dan Perlis.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar