27 OKT : Platform media sosial TikTok menafikan dakwaan pihaknya menyekat kandungan pro-Palestin meski pelbagai aduan disuarakan pengguna.
Jurucakap TikTo menerusi e-mel kepada Reuters hari ini berkata pihaknya memilih kesederhanaan dalam menentukan kandungan berita.
“Dakwaan ini tidak berasas. Garis panduan komuniti kami berpegang kepada kesaksamaan kepada semua kandungan TikTok dan kami komited untuk sentiasa melaksanakan dasar bagi melindungi komuniti,” katanya.
Khamis lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendedahkan TikTok secara sistematik menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.
Jelas Fahmi, perkara itu terbukti apabila ramai pengguna platform berkenaan mengadu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai kandungan dan siaran langsung yang dimuat naik mereka telah disekat.
Dakwa beliau, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada Selasa lalu turut diturunkan pihak TikTok.
Ekoran itu, Fahmi mengarahkan MCMC untuk membuat teguran keras kepada TikTok dan Meta berhubung isu tersebut sambil memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pengendali tersebut.
Namun Meta dalam maklum balasnya semalam turut menafikan dakwaan itu sambil menegaskan Facebook bukan sengaja melakukan sekatan tersebut.