28 OKT : Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bercadang menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri itu diteruskan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Kerajaan Negeri Kelantan sepatutnya memanfaatkan peruntukan EFT yang disediakan dengan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.
Jelas beliau, hal ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang diperkenalkan pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.
“Setakat ini, lebih RM29 juta telah diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dari 2019 hingga 2023.
“Cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan juga akan menjejaskan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi dan tidak selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK 2022-2030) yang baru dilancarkan pada 24 Oktober lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata DKBK 2022-2030 turut menggariskan keperluan bagi mengukuhkan perlindungan kawasan penting kepelbagaian biologi sebagai KSAS dalam pelan pembangunan di peringkat negeri dan tempatan.
Jelas beliau, ia akan menjejaskan sasaran negara untuk meningkatkan peratusan kawasan perlindungan bagi memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi.
“Saya berharap agar Kerajaan Negeri Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS dan bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan melalui NRECC untuk mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi negara,” katanya.
Semalam, Nik Nazmi dilaporkan berkata pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberikan implikasi antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara.
Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan EFT akan ditingkatkan kepada RM200 juta pada 2024 berbanding RM150 juta pada 2023.