28 OKT: Perkhidmatan komunikasi dan internet di Semenanjung Gaza terputus di tengah-tengah pengeboman besar Israel ke atas talian pengantara, menara, dan rangkaian, pada Jumaat.
Menurut seorang wartawan Al Jazeera, utara Gaza kini sedang dihujani serangan udara dan artileri akibat satu siri letupan besar yang berpanjangan menerangi langit di atas Bandar Gaza selepas pada malam Jumaat.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin turut memaklumkan pihaknya sudah terputus hubungan sepenuhnya dengan semua pasukannya yang beroperasi di darat serta bilik gerakannya di Gaza.
Pada masa sama, pembekal telekomunikasi Palestin, Jawwal menerusi catatan di media sosial memaklumkan terdapat gangguan sepenuhnya pada semua perkhidmatan komunikasi dan internet di Genting Gaza berikutan pencerobohan yang berterusan yang dikatakan telah memotong laluan antarabangsa terakhir yang menghubungkan Gaza ke dunia luar.
“Kami tidak mempunyai sebarang sambungan internet, kami tidak mempunyai sebarang jenis isyarat pada telefon kami, kami telah menjadi terpencil sepenuhnya di wilayah itu dan penduduk dalam ketakutan,” katanya.
Jurucakap pasukan Pertahanan Israel (IDF), Israel Daniel Hagari mengesahkan serangan terbaharu di Gaza dengan meningkatkan serangan udara tentera daratnya di Gaza.
Sementara itu, badan berpangkalan di New York menyifatkan dunia kini kehilangan tingkap realiti atas apa sedang berlaku di Gaza kerana pertubuhan berita terputus hubungan dengan wakil mereka di lapangan.
“Perang Israel-Gaza memasuki peringkat baharu dengan pengeboman semakin hebat dan operasi darat oleh tentera Israel. CPJ sangat bimbang susulan laporan meluas komunikasi terputus di Gaza,” lapor Anadolu Agency.