28 OKT : Pelaksanaan pengapungan harga ayam diyakini tidak akan menyebabkan harga makanan naik mendadak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata keyakinan itu susulan kedudukan dan pengeluaran ayam di negara ini masih mencukupi ketika ini.
“Harga siling ayam adalah RM9.40, harga ayam yang ada di pasaran sekarang ini berada di bawah harga siling. Jadi kita harap dengan pengapungan ini harga ayam tidak melepasi harga siling.
“Ini juga (berdasarkan) tinjauan kita di pasaran dan pengeluar juga memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya supaya bekalan ayam mencukupi bila berlaku pengapungan harga nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Naratif Khas : Pasca Belanjawan 2024: Tamat Subsidi Ayam, Apa Jaminan Buat Rakyat?, malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga ayam selepas pelaksanaan pengapungan harga kelak.
“Saya yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau dengan baik supaya tidak berlaku manipulasi harga.
“Kalau berlaku kenaikan harga yang disengajakan kerajaan boleh bertindak, melainkan kalau ia betul-betul tidak cukup dalam pasaran,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu mengumumkan kawalan harga sementara bagi ayam dan telur akan ditarik balik dan diapungkan di mana harga sumber protein itu akan ditetapkan pasaran.
Ia susulan harga semasa bagi kedua sumber protein itu jauh lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Kerajaan dijangka mengumumkan perincian berkait pelaksanaan apungan harga ayam dan telur, 30 Oktober ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata kerajaan amat berhati-hati dalam membuat keputusan tersebut susulan ia memberi kesan secara langsung kepada rakyat dan industri.
Malah katanya, sebelum membuat keputusan itu juga kerajaan berunding dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keseimbangan di semua peringkat.
“Kemungkinan dalam jangka pendek akan berlaku kegusaran rakyat, itu kita telah jangkakan. Kita telah menyediakan pelbagai strategi dan pendekatan yang akan kita laksanakan sekiranya kesan dan keresahan itu berlangsung dalam tempoh di luar jangkaan.
Dari segi jangka panjang, kita yakin keputusan ini akan memberikan satu keseimbangan ekonomi kepada semua pihak,” katanya.