28 OKT : Selangor mencatat kes keganasan rumah tangga tertinggi tempoh 2020 hingga Ogos 2023,
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 4,690 kes dilaporkan di Selangor dalam tempoh tersebut daripada 22,908 kes di seluruh negara.
“Terdapat peningkatan kes yang tinggi pada 2021 iaitu 7,468 kes berbanding 2020 yang mencatatkan 5,260 kes.
“Bagi 2022, jumlah kes keganasan rumah tangga masih tinggi walaupun menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,540 kes,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran Program Semarak Skuad WAJA 2023 Peringkat Negeri Selangor.
Menurut Aiman Athirah bagi menangani perkara tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan Skuad WAJA pada 2021 yang sehingga kini merekodkan penyertaan 328,558 ahli terdiri 253,973 ahli wanita dan 74,585 ahli lelaki.
“Skuad WAJA bertindak sebagai ejen perubahan bagi menangani keganasan terhadap wanita dalam komuniti serta membantu membina sebuah masyarakat yang saling membantu serta menyemai keharmonian,” katanya.
Tambahnya, ahli Skuad WAJA di Selangor kini seramai 26,910 orang.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata pelaksanaan program Skuad WAJA mewujudkan sinergi yang baik antara kerajaan dan komuniti dalam menangani keganasan terhadap wanita.
Beliau berharap Program Semarak Skuad Waja 2023 Peringkat Negeri Selangor itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam memberikan kesedaran serta perlindungan kepada golongan wanita daripada segala bentuk keganasan dan diskriminasi.