28 OKT : Hampir separuh rakyat di negara ini sukar untuk menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata rakyat Malaysia masih bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan dan kurang endah menguruskan risiko kewangan masing-masing termasuk menghadapi situasi tidak dijangka.
Katanya, daripada Kaji Selidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang diadakan setiap tiga tahun, sejak 2015 juga mendapati satu daripada tiga rakyat negara ini tidak berminat mengambil tahu mengenai insurans dan takaful.
“Alhamdulillah, kaji selidik ini telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia sejak tahun 2015.
“Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.
“Statistik Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) pula menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan Johor di Aeon Mall Kulaijaya, di Kulai, lapor BH.
Menurut Abdul Rasheed, kajian itu juga menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang walaupun kebanyakan mereka mempunyai pendapatan yang berpatutan.
Katanya, apabila didalami perkara ini ramai yang bergelut dengan masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda.
“Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata seiring dengan perkembangan zaman digital dan cabaran kehidupan masa kini yang semakin kompleks, pengguna kewangan berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya memahami produk kewangan yang tersedia dan menghadapi kesukaran mengendali juga mengurangkan hutang mereka.
“Cabaran ketiga ialah untuk membuat pelaburan yang bijak. Dalam usaha untuk mencapai matlamat kewangan, pengguna kewangan perlu memilih pelaburan yang sesuai.
“Cabaran keempat dan sangat penting pada masa ini ialah untuk melindungi diri daripada penipuan dan gangguan siber,” katanya.