29 OKT : Susulan insiden penjualan ‘daging katak’ di pasar raya NSK Selayang, pihaknya telah membuat permohonan maaf terbuka dan menyedari perkara itu sangat serius.
Syarikat NSK Trade City Sdn Bhd (NSK) dalam satu kenyataan berkata, tindakan juga sudah diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Kami memohon maaf atas insiden yang berlaku pada 24 Oktober lalu.
“Kami faham tahap keseriusan isu ini dan tindakan telah diambil serta-merta. Amaran keras juga telah diberikan kepada pekerja yang terlibat,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu tular di media sosial mengenai ‘daging katak’ yang dijual bersama barang lain di pasar raya NSK di Selayang.
Ia dikatakan disedari kira-kira jam 10 pagi pada hari tersebut dan ketika itu pasar raya terbabit belum sesak dengan pelanggan.
Selepas ia dimaklumkan kepada pekerja pasar raya berkenaan, ‘daging katak’ itu kemudian dialihkan dari meja jualan.
Pekerja yang menguruskan bahagian tersebut membuka dan mempamerkan daging berkenaan tanpa mengetahui ia adalah daging katak.
Menurut NSK pihaknya akan memastikan tidak ada lagi kejadian seumpama itu berulang.
“Kami memohon maaf akan memastikan sebaik-baiknya tidak berlaku lagi kesilapan tersebut,” katanya.