29 OKT : Penyedia Kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga dipanggil Bukit Aman bagi membantu siasatan berkaitan hantaran didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mengesahkan perkembangan itu, Syarul Ema berkata, beliau dihubungi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan diminta hadir ke Bukit Aman, jam 10 pagi esok.
Menurutnya, ia susulan satu laporan polis dibuat anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas akaun Instagram @ratunaga mengenai isu akaun Instagram @b.netanyahu yang memuat naik gambar bersama isteri-isteri pemimpin Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) termasuk Wan Azizah yang hadir minum petang bersama isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan isteri Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Saya akan hadir bersama peguam saya, Zaid Malek untuk dirakam percakapan,” katanya hari ini.
Terdahulu PKR cabang Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Wan Azizah.
Laporan dibuat Ketua Wanita PKR cabang Bandar Tun Razak, Jamilah Syed Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Tiga pengguna media sosial memuat naik gambar dan video Dr Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel ketika hadir ke UNGA ke-78 di New York, AS pada 21 September lalu.