29 OKT : Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengutuk operasi ketenteraan menerusi darat oleh rejim Zionis di Semenanjung Gaza.
Malah, turut menzahirkan kebimbangan mereka terhadap krisis kemanusiaan yang mengancam ribuan nyawa rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar Negeri, pihaknya mengulangi keperluan untuk menguatkuasa gencatan senjata di Gaza bagi memastikan orang awam dan institusi awam tidak menjadi sasaran.
Kementerian itu turut menegaskan kepentingan untuk melindungi orang awam berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa selain memastikan mereka tidak menjadi sasaran perang.
UAE juga menggesa resolusi UNGA yang diluluskan pada Jumaat diutamakan dan menggesa “gencatan kemanusiaan” di Gaza.
Ini katanya langkah penting dalam mengembalikan keamanan selain melindungi orang awam.
Gencatan senjata ini juga dapat membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan.