30 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berani dalam membuat keputusan membabitkan kepentingan negara.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata sebagai pemimpin, Anwar tidak boleh menjaga hati semua orang sebaliknya perlu membuat keputusan yang terbaik untuk negara ini.
Malah katanya, beliau bersedia dibenci dalam membuat sebarang keputusan demi kebaikan negara.
“Pandangan saya beliau perlu melaksanakan dan membuat lebih banyak keputusan. Niat (Anwar) untuk membuat sesuatu itu ada. Sudah tentu beliau mahu melihat negara ini berjaya, itu sudah tentu.
“Tapi saya fikir beliau harus lebih banyak membuat pelaksanaan atau lebih berani dalam membuat keputusan. Kita tidak boleh jaga hati semua orang. Kita perlu membuat keputusan apa yang terbaik untuk negara.
“Ada masa mungkin kita akan dibenci kerana membuat keputusan yang baik untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Keluar Sekejap bersama bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Pemilik kelab Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menjangkakan Anwar akan berdepan waktu sukar apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong awal tahun depan.
“Di Johor, baginda akan semak apa saja keputusan yang MB (menteri besar) buat. Baginda akan beri pandangan ikhlasnya di mana keutamaan itu diberi untuk negeri Johor.
“Saya rasa baginda akan lakukan perkara sama di peringkat Persekutuan, akan lebih ‘hands on’ terhadap perhubungan tertentu dengan PM, kongsi input apa yang baginda fikir betul dan tidak, apa yang perlu dilaksanakan bukan sekadar merancang sahaja dan apa saja yang boleh bantu dari segi ekonomi, kestabilan dan sebagainya.
“Jadi apa saja yang beri kepentingan kepada negara, baginda akan campur tangan. Itu pengalaman saya lihat Tuanku di Johor dan saya rasa benda sama akan berlaku di Kuala Lumpur.
“Jangankan soal pembangunan atau projek-projek saja…semua. Dari pokok ke baja, aeronautical, peralatan askar, senjata…pengetahuannya sangat luar biasa. Tuanku tahu semua perkara. Anda tak boleh tipu dan baginda juga tahu sistem itu dengan baik. Jadi saya rasa perdana menteri akan berdepan waktu sukar. Saya tidak bergurau,” katanya.