30 OKT : Pertempuran semakin teruk di Gaza awal pagi ini apabila rejim Zionis melepaskan beberapa peluru berpandu menggunakan pesawat pejuang di sekitar Hospital al-Quds di kejiranan Tel al-Hawa, awal pagi ini.
Kini, kira-kira 12,000 orang sedang mencari perlindungan di hospital selain kira-kira 400 pesakit dan ratusan lagi cedera.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) pada Ahad memaklumkan Israel mengancam untuk mengebom hospital Al-Quds, lapor portal berita Wafa.
Bagaimanapun PRCS menegaskan mereka tidak akan berpindah serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera campur tangan bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai.
Terdahulu, media melaporkan tentera Israel mula melakukan serangan darat menggunakan kereta kebal dan memasuki Semenanjung Gaza pada Ahad.
Tindakan itu juga mengakibatkan ribuan penduduk Gaza terpaksa memecah masuk ke dalam gudang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengambil barangan keperluan.
Menurut Agensi Pelarian Palestin PBB (UNRWA), situasi itu menandakan rakyat Palestin sudah mencapai ‘tahap tekanan tertinggi’.
“Ini adalah petanda yang membimbangkan dengan ketenteraman awam mula rosak selepas tiga minggu perang dan pengepungan ketat ke atas Gaza,” menurut UNWRA.
Pada masa sama, UNWRA berkata keupayaannya untuk membantu penduduk di Gaza terjejas sepenuhnya oleh serangan udara yang membunuh berpuluh-puluh kakitangannya dan menyekat pergerakan bekalan.
Sementara itu, Pendakwa Raya Tertinggi ICC, Karim Khan pada sidang akhbar di Mesir berkata menghalang bekalan bantuan kepada penduduk Gaza mungkin merupakan jenayah di bawah bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Justeru, Khan berkata Israel perlu melakukan usaha yang boleh dilihat tanpa berlengah untuk memastikan orang awam menerima makanan asas dan ubat-ubatan.
Bekalan bantuan ke Gaza adalah pada tahap minimum sejak Israel mula mengebom Palestin yang padat penduduk sejak 7 Oktober lalu.
Selepas lebih tiga minggu melakukan pengeboman di Gaza yang meragut lebih 8,000 nyawa, tentera Israel memulakan peringkat kedua peperangan dengan pencerobohan darat.